So which of the favors of your Lord would you deny?

(Al-Quran: 55)

Saturday, April 30, 2011

Kasih | Sayang | Cinta | Anugerah

Perasaan halus, mainan jiwa.. Satu ketika dulu, aku pernah tersalah anggap tentang perasaan sebenar yang bernama 'cinta'. Kisah lama yang sebenarnya berlaku hanya sekadar memberi ruang kepada perjalanan sebenar yang telah Dia rencanakan untuk aku. (Itu cinta monyet la sebenarnye...)

Syukur, sekarang aku kira aku mampu mentafsir erti sebenar perasaan cinta itu. Bukan dari perspektif cinta yang kononnya wujud di dalam hati insan-insan yang mengklasifikasikan diri mereka sebagai pasangan kekasih, tapi dari point of view seorang ibu yang mencintai anak-anaknya.

Entri-entri aku banyak berkisarkan soal perasaan aku terhadap anak-anakku. Kenapa? Bagiku, mereka adalah anugerah yang Dia kurniakan untuk aku. Dan tak salah kiranya aku mencintai mereka sebagai tanda syukurku kepada Dia yang Mengurniakan aku dengan kehadiran mereka dalam hidupku.

"Orang lain pun ade anak jugak.. tapi takde la obses sangat..." Itu pandangan sesetengah orang. Tapi bagi aku, aku berhak untuk obses dalam menyayangi dan meletakkan harapan serta mendoakan anak-anak aku. Jika bukan aku, siapa lagi yang harus ada perasaan halus seperti ini terhadap mereka. Tak salah menjadi obses terhadap sesuatu yang aku perlu pertaruhkan nyawaku untuk mendapatkannya.

Anugerah perasaan ini terlalu indah. Bayangkanlah betapa saktinya perasaan halus ini... Ketika keletihan, bila terlihat wajah-wajah cinta hatiku, bagaikan hilang segala lelah. Adakala aku terlepas tempias amarah ku pada kekasih kecilku, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kesalnya aku sedetik kemudian. Ya, amarahku aku perlu kalahkan dengan sabar, agak tempiasnya tidak membuatkan aku kesal, menjadikan hati kekasih kecilku terluka.. Maafkan Ummi sayang....

Aku bukanlah insan yang mampu menuturkan kata-kata indah dengan lidahku.. Biarlah sekadar kata-kata itu terzahir dari hujung jariku. Hanya mampu aku coretkan di alam maya ini, dengan harapan, akan ditatap oleh mata-mata suci anak-anakku suatu hari nanti.

Doaku, moga anak-anakku dikurniakan kehidupan yang baik di dunia yang sementara ini dan dianugerahkan nikmat syurga di akhirat kelak... Ya Allah, Engkau izinkanlah aku untuk menjadi seorang ummi yang tak pernah putus berdoa untuk kebaikan anak-anakku biarpun seribu kekurangan terpalit pada diriku. Janganlah Engkau biarkan anak-anakku mewarisi walau secubit sifat burukku pada diri mereka...

1 comment:

  1. anak-anak penyejuk hati... bersykurlah kita dapat anugerah yang boleh menyejukkan hati kita tatkala perasaan kita berkecamuk...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TuneList

TuneList - Make your site Live